Kongress 2008 - Ucapan Dasar Ketua Wanita KeADILan: Wanita Berdaya, Harapan Negara
29 November 2008
Selamat datang diucapkan kepada para tetamu yang diraikan dan dihormati sekalian. Bagi pihak Wanita KeADILan, saya mengalu-alukan dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian para tetamu sekalian menghadiri Kongres Wanita Parti Keadilan Rakyat pada tahun ini.
Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah s.w.t dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, atas kesudian menjadi tuan rumah untuk kongres kita pada kali ini. Mengikut pengalaman kita semua, Wanita Keadilan pernah berkongres di dewan sekolah swasta Negeri Sembilan, Tokong Buddha di Negeri Perak hinggalah ke hotel bertaraf lima bintang di bandaraya Kuala Lumpur.
Namun saya yakin kita semua bersetuju bahawa kongres kali ini adalah yang paling bermakna kerana kita berkumpul dan bertemu di dalam stadium di sebuah negeri yang kita kuasai sendiri!
Walau apa pun saya percaya sebagai sebuah pergerakan wanita yang sentiasa bergerak dengan denyut nadi perjuangan hakiki, semangat kita akan tetap menyala walau di mana sekali pun kita berada. Ini kerana, perjuangan yang pernah bersaksikan darah, air mata dan keringat ini akan tetap diteruskan untuk mencapai matlamatnya.
Para hadirin yang dikasihi sekalian,
PILIHANRAYA UMUM KE 12
Telah hampir lapan bulan kita mensejarahkan saat saat manis 8hb Mac 2008. Tarikh keramat yang tak mungkin luput dari ingatan kita semua. Kerana pada tarikh itulah berakhirnya kerakusan dan keangkuhan pihak pemerintah yang selama ini mendabik dada dan seakan-akan lupa bahawa kuasa yang mengangkat mereka ke puncak kuasa adalah kuasa rakyat. Kebijaksanaan dan tekad para pengundi di lima buah negeri dan satu wilayah persekutuan dengan mengundi calon-calon yang dikemukakan pihak pembangkang telah menghasilkan impak yang amat mengejutkan di seluruh Negara sehinggakan Pilihanraya Umum 2008 dikenali sebagai Tsunami Politik Malaysia!
Keberanian rakyat untuk berubah dari tradisi dan sokongan padu daripada pengundi-pengundi muda telah membuktikan bahawa kuasa kertas-kertas undi adalah lebih bermakna dan tidak boleh dinafikan dengan propaganda serta pertuduhan dan fitnah palsu. Kemenangan parti-parti pembangkang di seluruh Negara amat memberangsangkan. Walau bagaimanapun, suka saya ingatkan di sini bahawa kita akan terus mendesak pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) agar bertindak secara adil dan saksama dalam mengendalikan apa-apa jenis pilihanraya terutama sekali pilihanraya umum.
Keputusan Pilihanraya Umum yang lalu tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada ketelusan SPR. Peralihan undi secara besar-besaran kepada parti bukan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum yang lepas adalah atas kesedaran para pengundi sendiri sedangkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya masih gagal melakukan transformasi menyeluruh kepada system pengendalian pilihanraya di Malaysia. Harus kita ingat bahawa gabungan parti-parti politik pembangkang bersama kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan badan-badan swadaya (NGOs) yang bergabung dengan nama
BERSIH telah berjaya menyedarkan rakyat akan kepincangan sistem pilihanraya di negara ini melalui perhimpunan gergasi pad 10 November lalu di ibu negara. Gabungan ini telah menuntut, antaranya penggunaan dakwat celup jari selepas membuang undi, pembersihan daftar pemilihan dan akses kepada media yang adil dan saksama dalam tempoh kempen pilihanraya. Saya amat yakin sekiranya kesemua tuntutan dan saranan seperti yang tersebut dilaksanakan, kini
Malaysia telahpun ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
Saya berharap, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya yang baru dilantik akan membuktikan kepada semua pihak bahawa beliau memang layak untuk menduduki kerusi tersebut dengan memperkenalkan reformasi total kepada system pilihanraya yang ada di Negara ini agar mendapat kepercayaan semua pihak demi pilihan raya yang adil.
POLITIK PARTI PASCA PRU 12
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Fungsi dan peranan sayap Wanita KeADILan dalam menterjemahkan kemenangan besar pada pilihanraya umum yang lalu sememangnya tidak boleh dinafikan. Ini adalah merupakan hasil kerja kuat dan ketekunan kita menjalankan strategi yang disusun sebaik sahaja selesai Pilihanraya Umum ke 11 yang lalu. Pergerakan yang dilakukan dengan awal ini menggabungkan implementasi strategik SISMEP12 dan juga Operasi Anjak. Ia telah benar-benar menampakkan hasilnya. Begitu juga dengan aktiviti mengisi Borang Kaji Selidik (BKS) walaupun meletihkan namun data-data yang diperolehi amat berguna dan memudahkan kita menetapkan sasaran untuk perlaksanaan strategik di peringkat seterusnya.
Pada pilihanraya kali ini juga, Wanita KeADILan telah berjaya meletakkan bakal bakal calon ( Designate Candidate ) lebih awal di kawasan kawasan yang telah di kenalpasti. Ini disusuli pula dengan gerak kerja intensif dan benar-benar fokus kepada pengundi akar umbi di setiap kawasan. Kesungguhan dan kerjasama semua pihak itulah yang menghasilkan kejayaan buat sayap Wanita keADILan. Kini, kita harus berbangga kerana Wanita KeADILan telah berjaya mempunyai tujuh orang wakil rakyat! Bukan itu sahaja, malah wakil-wakil rakyat Wanita KeADILan ini juga diberi kepercayaan yang tinggi dalam kerajaan negeri.
Tahniah diucapkan kepada YB Puan Haniza Talha ADUN Taman Medan merangkap Timbalan Speaker DUN Selangor, YB Puan Rodziah Ismail ADUN Batu Tiga merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor, YB Cik Elizabeth Wong EXCO Kerajaan Negeri merangkap ADUN Bukit Lanjan dan juga YB Gan Pei Nei ADUN Rawang. Bagi wakil-wakil rakyat di peringkat Parlimen pula ialah saya sendiri selaku Ahli Parlimen Ampang, YB Puan Fuziah Salleh selaku Ahli Parlimen Kuantan dan juga YB Puan Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Kita juga telah berpeluang menonjolkan ahli-ahli Wanita KeADILan untuk diserapkan dalam badan-badan penting di peringkat kerajaan negeri seperti Ahli Lembaga Pengarah, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan beberapa posisi lainnya. Ini membuktikan bahawa kemampuan dan profesionalisme Wanita KeADILan adalah diakui.
Kesemua ini menunjukkan bahawa kemenangan yang dikecapi ini tidak datang dengan mudah. Seperti yang saya katakan tadi, kemenangan kita meraih kepercayaan rakyat adalah hasil daripada penyusunan strategi yang berterusan dan kejayaan perlaksanaannya di kesemua peringkat. Saya bagi pihak Exco Wanita Pusat merakamkan ribuan terima kasih kepada semua jentera wanita yang bertungkus lumus dalam kapasiti masing masing dan menjayakan perancangan dan pelan tindakan kearah kejayaan ini. Syabas!
NEGERI KERAJAAN PAKATAN RAKYAT
Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi menyampaikan mesej kepada pimpinan dan ahli-ahli Wanita KeADILan yang mewakili negeri-negeri dibawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat. Saya amat berharap agar puan-puan semua
berusaha keras untuk mengambil peluang ini bagi memperkukuhkan kedudukan sayap Wanita parti di negeri masing masing.
Jawatankuasa Wanita perlu wujud di kesemua bahagian yang ada. Ahli-ahli baru terutama dari kalangan professional perlu dialu-alukan kehadiran mereka. Ini adalah untuk kebaikan dan meneruskan kelangsungan hayat parti.
Kemasukan ahli-ahli baru tidak wajar dianggap sebagai ancaman kepada ahli-ahli yang lama. Malah kerjasama dan gabungan tenaga kedua-dua pihak dapat memberi nafas baharu kepada perjuangan wanita di setiap bahagian dan negeri. Teruskan kempen 1 + 1 yang pernah kita luncurkan dahulu. Kini, mulakan semula dengan mensasarkan anggota keluarga terdekat dan seterusnya jiran tetangga untuk menjadi ahli parti.
Saya seru agar kesemua pihak bersikap terbuka dalam hal ini. Selain daripada soal keterbukaan dan keahlian, kehadiran parti amatlah penting untuk ditonjolkan di setiap kawasan. Kita perlu memperlihatkan kewujudan parti terutama sekali sayap Wanita KeADILan disetiap kawasan kepada rakyat. Dengan ini kita akan lebih dihormati oleh kawan dan lawan. Disamping itu, ia juga akan memudahkan kita untuk melebarkan pengaruh parti dan menambahkan kekuatan keahlian. Untuk mencapai maksud tersebut, pihak Wanita Bahagian perlu menjalankan aktiviti aktiviti yang mensasarkan kelompok penyertaan yang bebeza-beza dan turut menggalakkan pemasangan papan papan tanda cawangan di tempat masing masing.
Sedarlah bahawa sesungguhnya kita sedang diuji dan diperhatikan oleh rakyat, kawan dan lawan. Kemampuan kita untuk memerintah dengan adil dan saksama serta keupayaan kita menangani permasalahan adalah amat penting pada waktu ini. Saya ingin mengambil sedikit ruang bagi mengucapkan tahniah atas ketegasan serta kebijaksanaan pimpinan parti di kesemua peringkat yang terbukti telah mengambil tindakan tegas dan segera kepada beberapa orang ahli parti yang telah terbukti melanggar etika parti dan undang-undang Negara. Sikap ini amat terpuji dan tambah meyakinkan rakyat bahawa sememangnya kita tidak akan berkompromi dengan sebarang salahlaku ahli parti tanpa mengira kedudukan mereka.
* Bersatu Teguh Bercerai Roboh
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini bagi menyampaikan mesej khas kepada pimpinan dan ahli-ahli Wanita KeADILan khusus bagi Negeri Selangor. Pastikan bahawa kita semua bertindak sebagai ejen kecil kepada kerajaan negeri Selangor. Ingatlah, bahawa Kerajaan Selangor ialah kerajaan contoh kepada corak pemerintahan parti kita dan juga Pakatan Rakyat. Pihak lawan akan sentiasa menyerang kita bertubi-tubi dan dari semua sudut. Kejayaan kerajaan Negeri Selangor memulangkan kekayaan negeri kepada kantung rakyat juga adalah kejayaan yang sangat dicemburui.
Oleh itu, negeri Selangor kini menjadi sasaran pihak lawan untuk cuba dijatuhkan imej dan kepimpinannya. Pelbagai isu telah dimainkan oleh pihak media untuk menyerang kepimpinan negeri terutama sekali hal-hal perkaum. Isu perkauman ini kelihatan makin menjadi-jadi. Rakyat terutamanya dari rumpun Melayu cuba dipengaruhi dengan isu perkauman.
Saya sekali lagi ingin membuat penegasan seperti yang telah beberapa kali dijelaskan sebelum ini iaitu adalah telah dipersetujui oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat bahawa demi mengekalkan keharmonian Negara dan kemakmuran rakyat, kita masih menyanjungi semangat perlembagaan yang menggariskan hak-hak masyarakat Bumiputera disamping menjamin bahawa kesemua kaum dan agama lain akan tetap diperlakukan dengan adil dan hak-hak asasi mereka tidak akan dinafikan. Maka sekali lagi saya menyeru kepada kesemua ahli dan pimpinan wanita di negeri Selangor agar bersatu teguh serta berusaha gigih mempertahankan kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan.
* Integriti Pemimpin Pakatan Rakyat
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menganiaya wanita untuk dijadikan umpan politik seperti yang dilaporkan di negeri Perak baru-baru ini. Perkembangan ini amatlah mengaibkan dan membuktikan bahawa apa sahaja sanggup dilakukan bagi memenuhi hasrat yang terselindung. Kami juga memuji
tindakan pantas pihak Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzwan dan pimpinan parti yang memecat ahli majlis terbabit kerana terbukti bersalah dengan serta merta. Sesungguhnya tiada ruang dalam parti ini untuk mereka yang tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab dan mempunyai moral yang rendah. Inilah yang disebutkan sebagai ketelusan pihak kerajaan negeri dari kalangan Pakatan Rakyat. Kita tidak memilih bulu dalam menjalankan hukuman yang adil. Rakyat sedang melihat dan Tuhan sedang menguji.Lanjutan dari itu sebagai langkah pandangan jauh demi menjaga INTEGRITI kerajaan Pakatan Rakyat saya ingin mencadangkan agar semua Wakil Rakyat menandatangani surat aku janji perletakan jawatan sekiranya didapati bersalah dalam kes rasuh dan skandal seks.
Dalam surat yang dikirim oleh Saidina Ali r.a. kepada Gabenor Mesir, Malik al-Ashtar, beliau mencoret pesanan penting:
Pastikan kamu berlaku adil kepada Allah, berlaku adil kepada manusia jika kamu tidak melakukannya kamu telah melakukan kesalahan dan barang siapa yang menzalimi hamba Allah, dia bukan sahaja bermusuhan dengan manusia, bahkan bermusuhan dengan Allah Sebaik-baik usaha sewaktu manjalankan urusan kamu ialah mengikut jalan pertengahan dalam kebenaran, paling sempurna dalam keadilan dan paling menyeluruh dalam mencapai kesejahteraan rakyat.
Keadilan merupakan salah satu dari prinsip Maqasid al-Syariah. Pesan Saidina Ali selaku Khalifah kepada Gabenor Mesir ketika itu memperlihatkan betapa Islam amat mementingkan keadilan untuk semua. Justeru, tuntutan menegakkan keadilan memerlukan kepimpinan yang bertanggungjawab serta mempunyai kekuatan moral dan kejujuran.
* Kesejahteraan Berbilang Kaum
Selain isu gender, beberapa perkembangan terkini yang berlaku dalam Negara juga menunjukkan suhu hubungan sosial berada dalam keadaan yang tidak sihat. Rakyat terutamanya masyarakat Melayu beragama Islam seringkali diomongkan bahawa tindakan mengundi parti-parti dalam Pakatan Rakyat mengundang padah kepada Bangsa Melayu dan Agama Islam. Isu ini berbangkit setelah mereka mendapati bahawa Pakatan Rakyat telah berjaya membuktikan kepada Malaysia bahawa kesemua negeri yang diperintah berjaya ditadbir dengan aman dan menjunjung prinsip keadilan sebenar. Isu ini ditimbulkan semata-mata untuk mengundang rasa ragu-ragu dan membakar semangat perkauman.
Mereka yang dahulunya seringkali membuli rakyat dengan pelbagai helah kini terpaksa akur dan sedang mengatur strategi untuk memenangi semula kekuasaan.
Pada asasnya, sebagai Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat yang juga seorang Melayu beragama Islam, saya menjamin kepada semua bahawa kami tidak sekali-kali akan menggadaikan maruah dan prinsip serta kehormatan bangsa dan agama. Keharmonian semangat berintegrasi sesama kaum akan dikekalkan menurut peruntukan perlembagaan yang ada. Dalam waktu yang sama, saya juga menjamin bahawa kedudukan bangsa lain di Malaysia akan terus dihormati.
Tiada mana-mana kaum yang akan hidup dalam ketidakadilan dan dipinggirkan untuk mendapat ruang seadilnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Saya juga mengulangi jaminan bahawa disamping kita menghormati perkara 153 Perlembagaan Malaysia, kita juga tidak akan sesekali mengenepikan dan menganaktirikan mana-mana kaum lain. Ini kerana kita percaya bahawa kekayaan dan keharmonian Malaysia hanya akan dapat dikekalkan dengan bertindak seadilnya kepada semua rakyat Malaysia. Inilah resepi yang menjamin keharmonian berterusan yang bakal kita terus kecapi dalam masa-masa mendatang.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
* Harapan Rakyat
Kemenangan kita menawan beberapa buah negeri pada pilihanraya umum yang lepas bukanlah bermakna perjuangan kita sudah tiba di kemuncak. Sebaliknya, ini adalah sebuah proses permulaan bagi kita meningkatkan semangat dan menggandakan usaha untuk seterusnya mentadbir Kerajaan Malaysia pada masa hadapan. Waktu ini adalah masa yang tepat untuk kita menggiatkan usaha dalam mendalami selok belok pentadbiran sesebuah negeri. Reformasi yang kita idam-idamkan semenjak 10 tahun lalu masih jauh dari capaian.
Justeru itu kita harus sedar bahawa harapan rakyat masih tergalas di bahu kita. Kemerdekaan palsu yang dikecap kini harus digantikan dengan kemerdekaan sebenar. Semangat merdeka tidak harus luput selepas tarikh 31 Ogos setiap tahun. Sebaiknya ia dinyalakan terus sehingga kemerdekaan sebenar tecapai kelak. Maka, marilah kita teruskan perjuangan ini dengan azam yang makin menyala hanya dengan satu tujuan, iaitu menuju Harapan Baru Negeri Kerajaan BN
* Menguatkan Sayap Wanita Parti
Bagi pimpinan wanita di negeri-negeri yang masih belum dimenangi, saya menyeru agar anda semua meneruskan semangat. Ini kerana telah terbukti bahawa dengan kerja keras dan usaha yang mendalam, adalah tidak mustahil untuk mendapatkan mandat daripada rakyat. Dengan mengambil contoh kejayaan Pakatan rakyat memerintah beberapa buah kerajaan, rakyat di negeri-negeri lain pasti akan lebih yakin dan hanya menunggu masa sahaja untuk memilih kerajaan negeri yang baru.
Bagi tujuan tersebut, pimpinan wanita di peringkat pusat telah siap menyediakan sebuah modul yang dikenali sebagai Model Ampang. Modul ini merupakan garis panduan, langkah-langkah serta data-data yang telah disusun berdasarkan pengalaman dan kerja-kerja yang dijalankan di kawasan Parlimen Ampang sebelum menghadapi pilihanraya umum yang lalu. Kesemua gerak kerja yang dilakukan dan maklumat-maklumat berkaitan dikompilasikan dengan teratur bagi memudahkan rujukan. Modul ini sangat sesuai dijadikan sebagai satu on-going proses di setiap kawasan pilihanraya.Saya juga menyeru agar program-program khas wanita dapat diatur dan dijalankan dengan segera. Saya percaya, rakan-rakan di peringkat pimpinan pusat mahupun negeri sentiasa bersedia untuk sama-sama turun dan menguatkan sayap wanita parti.
POLITIK NEGARA PASCA PRU 12
Para hadirin yang dihormati sekalian,
* Politik Perkauman
Keputusan pilihanraya umum yang lalu juga telah memberi isyarat yang jelas bahawa politik berasaskan kelompok perkauman sudah tidak relevan untuk diteruskan. Ada juga kemungkinan besar bahawa parti-parti berasaskan perjuangan sempit perkauman ini sudah layak dimuziumkan sebagai pengajaran untuk masa hadapan. Kematangan para pengundi untuk menilai kredibiliti calon dan juga praktikaliti manifesto yang ditawarkan sudah terbukti sama sekali.
Maka, retorik perkauman dan dongeng bahawa hanya Barisan Nasional sahaja yang boleh dan mampu memerintah bumi Malaysia yang tercinta ini hanya tinggal retorik dan dongengan semata-mata. Pilihanraya umum yang lalu juga menunjukkan bahawa majority rakyat Malaysia telah berjaya membebaskan belenggu pemikiran mereka daripada jajahan dan doktrin yang sudah lama didodoikan oleh pihak pemerintah, dengan hasrat memanjangkan hagemoni kekuasaan mereka. Arus perubahan yang membadai persada politik negara pada waktu ini adalah kesan daripada keyakinan masyarakat dari kaum Melayu mengundi calon berbangsa Cina,India dan begitulah sebaliknya.
* Dewan Rakyat / Dewan Negara
Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu juga telah berjaya mengukuhkan perpaduan dan kerjasama dikalangan parti-parti pembangkang yang kini bergelar PAKATAN RAKYAT. Perbezaan ideologi dan pendapat yang kecil telah diketepikan bagi memberi ruang kepada persefahaman yang lebih signifikan nilainya. Persefahaman ini telah menghasilkan sebuah blok yang sangat lantang dan berkesan di Dewan Negara dan juga Dewan Rakyat. Pada hari ini, suara Pakatan Rakyat pada setiap persidangan Parlimen dan DUN telah bergema. Yang lebih membanggakan kita sebagai ahli dan aktivis Parti KeADILan Rakyat ialah jumlah Ahli Parlimen kita adalah yang paling ramai dikalangan Pakatan Rakyat iaitu seramai 31 orang. Jumlah ini juga telah menyaksikan sebuah sejarah tercipta di Dewan Rakyat, iaitu apabila Yang Berbahagia Dato Seri Presiden kita yang pada waktu itu merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh telah dilantik menjadi Ketua Pembangkang Wanita yang pertama di Dewan Rakyat Malaysia.
Para perwakilan dan pemerhati sekalian,
* Perjuangan Mempertahankan Hak Wanita
Melalui pengalaman yang telah kami tempuhi bersama-sama, percayalah bahawa kami ahli-ahli parlimen Wanita KeADILan akan lantang bersuara dan memperjuangkan hak kesemua rakyat terutama sekali hak kaum wanita.
InsyALLAH setiap ruang yang ada akan kami manfaatkan untuk berdebat dan berhujah. Kini, tidak ada satupun usul yang dibawa untuk perdebatan kami biarkan berlalu begitu sahaja. Dewan Rakyat kini bukan lagi rubber stamp ataupun hanya sebagai memenuhi syarat-syarat pewartaan sesebuah akta. Tetapi kini Dewan Rakyat yang mulia itu adalah ruang bagi kami, anggota-anggota yang bersidang didalamnya untuk dijadikan medan bagi mengangkat suara dan kepentingan rakyat. Acapkali persidangan dewan terpaksa ditangguhkan sehingga jam 12 malam kerana memberi ruang untuk perdebatan.
Saya percaya, rakan-rakan lain yang memainkan peranan di peringkat Dewan Undangan Negeri juga memainkan peranan yang sama. Bezanya kini dan dahulu ialah apabila tiada lagi ketakutan dan hipokrasi untuk mengkritik dengan tujuan memperbaiki sesuatu. Perkembangan ini menunjukkan amalan demokrasi berada pada tahap yang baik apabila Pakatan Rakyat memerintah.
Para hadirin sekalian,
PERMATANG PAUH
* Kerajaan Harapan Baru
Pilihanraya Kecil bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh adalah bukti bahawa momentum rakyat masih segar dan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat. Asakan bertali arus Barisan Nasional dengan taburan fitnah, curahan puluhan juta ringgit dan pelbagai tipu helah dan permainan politik perkauman dalam pilihanraya kecil tersebut tambah meyakinkan pengundi di kawasan pilihanraya itu untuk terus mengenepikan Barisan Nasional. Malah kemenangan Yang Berhormat Dato Seri Anwar Ibrahim dengan majoriti yang lebih besar juga meyakinkan kita bahawa rakyat Malaysia benar-benar dahagakan pimpinan karismatik beliau yang sememangnya tidak dapat ditandingi oleh mana mana pimpinan Negara masakini. Kegentaran pihak Barisan Nasional dalam menghadapi tentangan arus rakyat yang ingin menjulang anak Permatang Pauh bernama Anwar Ibrahim memimpin Malaysia memaksa mereka terus merekayasa bukti di mahkamah dan paling menjelikkan apabila kelihatan satu akta khas telah secara tergesa-gesa diluluskan di Parlimen bagi menghalalkan perbuatan mereka.
Masih segar dalam ingatan kita bagaimana kerjasama parti-parti dalam Pakatan Rakyat juga terbukti ampuh. Dimana mana kelihatan penyokong dan pimpinan tertinggi daripada PAS dan DAP membantu dengan penuh komitmen.
Berceramah dan turun menemui pengundi. Tetapi yang menjadi wira sebenar ialah rakyat dan pengundi di Permatang Pauh sendiri. Mereka nyata bijak membuat keputusan dan mengecewakan kepimpinan Barisan Nasional yang terlalu gah dengan keyakinan palsu mereka. Hamburan wang ringgit dan fitnah yang menggila seakan langsung tidak memberi kesan malah seolah-olah memakan diri mereka sendiri. Oleh kerana kebijaksanaan inilah maka hasrat menghantar tokoh yang layak sebagai calon Perdana Menteri ke Parlimen tercapai! Rakyat Permatang Pauh mengesahkan bahawa P44 ialah kubu kuat rakyat! Tahniah rakyat Permatang Pauh. Namun yang lebih membanggakan adalah disebalik kemenangan itu tersimpul sebuah pengorbanan seorang wanita. Ia merupakan bukti kepada kekentalan perjuangan susuk yang juga bergelar isteri dan ibu.Yang Berbahagia Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail, kesetiaaan dan kecekalan beliau sebenarnya menjadi simbol kepada keadilan yang sebenar.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
* BN Goyah
Kemenangan tersebut terlalu mengujakan kita semua dan pada waktu itu, bayang-bayang peralihan kuasa kerajaan Malaysia dilihat semakin meyakinkan. Ramai dikalangan ahli politik kedua belah pihak sangat yakin akan berlakunya perubahan kuasa di peringkat pusat dalam masa yang terdekat. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pimpinan Pakatan Rakyat juga terus menaikkan momentum ini hingga mengakibatkan tindakan terdesak diambil oleh Barisan Nasional. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk mengugut dan menakutkan ahli-ahli parlimen mereka dari mengubah haluan bersama Pakatan Rakyat. Media masa sepertimana biasa memainkan peranan mereka sebagai alat pemerintah untuk menggagalkan hasrat tersebut. Agak pelik apabila secara tiba-tiba sebuah kerajaan yang tidak mengamalkan demokrasi sebenar selama ini mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan bahawa perbuatan mengubah parti adalah tidak demokratik, mengkhianati rakyat dan penderhaka.
* Keresahan Kehilangan Kuasa
Kecetekan pengetahuan mereka dalam bidang undang-undang dan ketakutan akan kehilangan kuasa telah mengakibatkan mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian. Ini kerana adalah lebih tidak demokratik apabila media massa dikongkong dan wujud sikap double standard dalam melaksanakan undang-undang. Adalah lebih mengkhianati rakyat apabila kerajaan-kerajaan negeri yang bukan di bawah pemerintahan Barisan Nasional dianak tirikan dalam soal pembangunan fizikal dan sosial. Juga lebih derhaka mereka kepada rakyat apabila menjual syarikat-syarikat industri
strategik Negara kepada kuasa asing dan seringkali tewas dalam persaingan seperti kes Pulau Batu Putih dan Wilayah Pembangunan Iskandar di Negeri Johor.
Kemucak kepada ketakutan inilah yang menyebabkan mereka membawa lari lebih 50 orang Ahli Parlimen ke Taiwan pada bulan Ramadhan dengan alasan untuk mempelajari teknik pertanian di Negara tersebut. Disebalik hakikat bahawa kita amat yakin perubahan ini memang boleh terjadi pada waktu itu, namun atas beberapa dasar termasuk isu keselamatan Negara dan keadaan ekonomi yang di ambang kemerosotan, Pakatan Rakyat bersetuju untuk membawa tarikh itu kehadapan dengan sentiasa menanti masa yang paling sesuai.
Pada waktu ini, pihak lawan kita sedang menghadapi pelbagai krisis yang sangat menggoncangkan. Kepercayaan rakyat semakin menipis kepada mereka. Pertelingkahan sesama mereka sama ada dari dalam parti mahupun sesama parti komponen sudah tidak dapat diselindungkan lagi. Ramai dari kalangan mereka kini sudahpun bersama-sama kita di dalam perjuangan. Cuma nasihat saya kepada rakan-rakan yang baru menyertai parti ini adalah agar kita semua dapat menjernihkan niat dan benar-benar menanamkan kefahaman mengenai perjuangan yang didokong oleh parti ini. Kini tumpuan rakyat adalah kepada kita, Parti KeADILan Rakyat dan juga rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Para perwakilan dan pemerhati yang dihormati sekalian,
* Kuasa Pendesak
Ternyata kini 16 September sudahpun berlalu. Saya tidak nafikan kekecewaan ramai dikalangan rakyat mahupun kita sendiri. Namun kita juga harus sedar akan hikmah yang terselindung di sebalik berlalunya 16 September tersebut.
Mengemudi sesebuah Negara bukanlah perkara yang mudah, lebih-lebih lagi apabila rakyat mengharapkan untuk merasai perubahan yang positif dan dapat meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih baik. Kita tidak nafikan bahawa Yang Berhormat Dato Seri Anwar Ibrahim ialah ibarat seorang nakhoda yang paling layak dan berpengalaman luas.
Namun jika sang nakhoda seorang sahaja, ia tidak mampu mengemudi bahtera yang hebat jika kelasi yang lainnya tidak bersedia. Beberapa insiden yang telah berlaku dan melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan Pakatan Rakyat membuktikan bahawa kita sebenarnya dalam keadaan yang tidak cukup ampuh untuk menolak godaan dan ujian dalam memegang amanah. Oleh itu, saya menyeru supaya kita bersedia dengan sebaiknya dalam mempersiapkan kekuatan sahsiah dan mental sebelum benar-benar diuji dengan cubaan lebih besar iaitu memerintah Malaysia satu hari nanti.
Pihak Wanita KeADILan memberi jaminan bahawa kami akan terus menjadi antara kuasa pendesak yang efektif bagi merealisasikan impian 16 September.
Para hadirin sekalian,
HAK ASASI & HUBUNGAN SOSIAL
Para perwakilan dan pemerhati sekalian,
* ISA
Soal hak asasi dan lanskap sosial negara tidak akan pernah putus untuk dibicarakan.Keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri disebalik tentangan dan kecaman rakyat amat dikesali.
Malah, cadangan agar Akta ini diperbaiki bersesuaian dengan keadaan semasa juga tidak mendapat maklumbalas yang positif. Ternyata pihak kerajaan pusat masih mengharapkan ISA bagi menjadi senjata paling ampuh yang terakhir untuk menutup mulut dan menggagalkan rencana sesiapa sahaja yang dikira ancaman kepada pegangan kuasa mereka.
Pihak Wanita KeADILan ingin mengambil platform hari ini bagi mengutuk sekeras-kerasnya akta zalim tersebut dan menggesa agar kesemua tahanan ISA dibebaskan. Kami sedar bahawa tiada pihak yang boleh terlepas daripada
hukuman sekiranya mereka benar-benar melakukan kesalahan. Oleh itu, tindakan yang paling baik dan bersifat kemanusiaan ialah dengan membuktikan kesalahan tahanan ISA ini di mahkamah dan barulah dihukum setimpalnya jika bersalah. Mutakhir ini isu ISA dan hak asasi semakin mendapat perhatian. Alasan ancaman kepada keselamatan Negara disebalik penahanan mereka amatlah diragukan kerana tiada asas kukuh bagi membuktikannya.
Adalah amat malang sekali apabila kebanyakan mereka yang dijatuhkan hukuman di bawah akta ini adalah terdiri daripada kelompok sedar dalam masyarakat. Sejarah dari dahulukala hingga kini membuktikan bahawa tokoh-tokoh pemikir dan para intelek seperti Ahmad Boestaman, Ishak Hj Mohamad, Dr Burhanuddin Al Helmi, Syed Zahari dan Dr Syed Hussin Ali serta Yang Berhormat Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri,seringkali menjadi mangsa hanya kerana arus pemikiran dan pendekatan yang mereka ambil tidak sehaluan dengan pihak yang memerintah. Ini jelas membelakangkan amalan demokrasi dan merugikan Negara. Amatlah baik sekiranya pandangan berbeza yang diutarakan oleh tokoh-tokoh pemikir itu dibincangkan dan diperhalusi supaya memberi manfaat bersama kepada semua pihak.
* Media Alternatif
Mutakhir ini penggunaan akta ini semakin rakus dan menggila. Kajian selepas tsunami pilihanraya yang lepas menunjukkan bahawa sebahagian besar rakyat di Malaysia mengundi Pakatan Rakyat adalah akibat daripada sumber maklumat yang mereka perolehi melalui pembacaan di laman maya dan juga melalui akhbar-akhbar alternatif seperti Suara Keadilan, Harakah, Siasah dan lain-lain lagi. Ini nyata menggemparkan mereka. Kuasa media alternatif yang bertindak sebagai pengimbang maklumat ini telah berhasil dalam usaha mereka untuk memberi maklumat dan fakta sebenar. Amat malang bagi pihak Barisan Nasional yang mengawal media cetak dan elektronik Negara ini kerana tindakan mereka meracuni fikiran rakyat dengan berita yang berat sebelah dan kadangkala berunsur fitnah sudah tidak berhasil lagi. Kedewasaan rakyat Malaysia menjadikan mereka semakin bijak untuk menilai dan membezakan antara hak dan bathil.
Kegusaran inilah yang manjadikan beberapa orang wartawan dan penulis bebas menjadi mangsa penahanan ISA. Kini satu lagi ruang demokrasi digelapkan. Penahanan seorang wartawan akhbar Cina selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lepas dan juga blogger terkenal, Raja Pertra Kamaruddin seakan-akan menjadi amaran keras buat penulis dan wartawan agar tidak menulis sebarang artikel yang mengancam kedudukan Barisan Nasional dan UMNO khususnya. Pengharaman pertubuhan seperti HINDRAF juga dilihat sebagai tidak mempunyai asas dan menafikan hak mereka sebagai warganegara Malaysia untuk menyuarakan pendapat.
* Kebebasan Media
Penggunaan akhbar dan media arus perdana yang dikongkong pemerintah juga amat mengecewakan dan kini sudah sampai ke tahap mengancam keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Beberapa akhbar kian kerap
memainkan dan mengutarakan isu perkauman yang pelbagai. Ulasan, berita dan cerpen yang disiarkan dengan jelas cuba menunjukkan keangkuhan dan kuasa mereka yang seolah-olah tiada batasan. Hinggakan isu yang hanya khabar angin dan tanpa bukti juga dijadikan tajuk utama sesetengah akhbar tersebut. Kita amat kecewa bahkan malu apabila pihak yang terbabit mendakwa mereka adalah pahlawan Melayu yang ingin membela hak bangsa mereka. Saya ingin memberi contoh mengenai papantanda jalan yang ditulis dalam pelbagai bahasa di Pulau Pinang. Negeri tersebut telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia. Apabila pihak Kerajaan Negeri berhasrat untuk mencetak papan tanda dalam pelbagai bahasa di negeri tersebut termasuk tulisan Jawi dan Cina, maka ada segelintir daripada kalangan politikus yang tidak matang di Negara kita mempersoalkannya dengan alasan perbuatan tersebut bakal menghakis kedaulatan Bahasa Malaysia. Anehnya mereka membisu seribu bahasa apabila anak-anak sekolah diseluruh Negara diwajibkan mempelajari Matematik dan Sains dalam Bahsa Inggeris.
Wanita KeADILan berasa sedih dan bimbang sekiranya tiada tindakan tegas yang di ambil bersabit isu sensitive seperti ini, besar kemungkinan perkara ini akan berlanjutaan hingga menimbulkan konflik dikalangan rakyat terbanyak hanya kerana ingin memuaskan nafsu sesetengah pihak yang menjadikan isu perkauman sebagai alat untuk terus berkuasa.
Nilai berita yang disampaikan oleh setiap akhbar seperti ini juga menunjukkan kejatuhan tahap profesionalisme pemberitaan yang ketara. Pemerhati media antarabangsa yang berpengkalan di Perancis, Reporters sans Frontierers (RSF) melaporkan bahawa ranking kebebasan media di Malaysia jatuh tangga 132 pada tahun ini berbanding tangga ke 92 pada dua tahun lepas.Kejatuhan ranking diperingkat antarabangsa ini dijangkakan akan terus berlaku sekiranya media-media arus perdana di Malaysia terus dikongkong dan dikawal untuk hanya menyiarkan berita yang menyelerakan nafsu pemerintah.
ISU ANTARABANGSA & KESELAMATAN NEGARA
Hadirin sekalian,
* Melawan Arus Pemerintahan
Di peringkat antarabangsa, isu ekonomi masih lagi menjadi bualan hangat disebalik isu kemenangan Barrack Obama yang mencipta sejarah sebagai bakal Presiden Amerika Syarikat pertama daripada kalangan kulit hitam. Kita mengalukan dan mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau dan berharap agar perubahan yang dijanjikan kepada rakyat Amerika dan dunia dapat dilangsaikan. Saya juga yakin, masyarakat diseluruh dunia mengharapkan agar Obama berani bertindak melawan arus pemerintahan kuasa besar dunia itu sebelum ini dengan melaksanakan beberapa tindakan awal seperti menarik semula kesemua tentera mereka dari bumi Iraq dan menghentikan campurtangan dalam isu-isu lainnya.
Kemenangan Obama dan timbalannya Joe Biden ini juga memberi sinar baru kepada hubungan dua hala antara Amerika Syarikat dan Negara-negara di Benua Asia dan Afrika. Semoga polisi baru dapat dibentuk untuk menangani isu isu global selama ini seperti kemiskinan, perkauman dan juga sekatan ekonomi.
Disamping itu, kami juga berharap agar tindakan lebih ketat serta kawalan terhadap produk-produk import dari Negara luar diberi perhatian serius. Produk-produk yang perlu dikawal dengan lebih rapi ialah seperti makanan dan ubat-ubatan.
Isu Melamin yang menggemparkan seluruh dunia baru-baru ini sewajarya menjadi pengajaran. Walaupun kita hanya terkesan sedikit sahaja namun itu sepatutnya menjadi amaran awal untuk lebih berhati-hati.
Para hadirin sekalian,
* Keselamatan Negara
Isu keselamatan Negara juga perlu lebih dititikberatkan. Jenayah yang berlaku dewasa ini amat membimbangkan.
Kewujudan dunia tanpa sempadan telah mengakibatkan jenayah semakin hari semakin bertambah. Statistik menunjukkan peningkatan kesemua jenayah daripada jenayah kolar putuh hinggalah yang mengakibatkan keganasan serta kehilangan harta dan nyawa.
Wanita KeADILan menyeru agar disegerakan penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis atau IPCMC sepertimana yang dicadangkan sebelum ini. Kami amat menghormati pihak berkuasa yang menjalankan tugasan mereka mengikut acuan undang-undang dan perlembagaan . Namun kewujudan beberapa kes yang meragukan seperti sebelum ini akan dapat ditangani dengan lebih baik dan tidak lagi mencurigakan sekiranya suruhanjaya khas ini dapat dibentuk dan bertindak secara bebas. Suruhanjaya ini juga perlu mendapat kuasa mereka yang sepatutnya dan bukan hanya sekadar menyiasat dan melaporkan kepada pihak berkuasa seperti yang berlaku kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Kebanjiran pendatang asing di Negara ini juga makin merisaukan. Kita sentiasa mengalukan kehadiran tenaga buruh dari Negara-negara luar bagi memenuhi keperluan dalam Negara kita yang tidak mencukupi, walaubagaimanapun yang menjadi kerisauan ialah pendatang asing tanpa izin . Mereka memasuki negara ini secara tidak sah dan kita tidak mempunyai sebarang rekod mengenai mereka. Apabila terjadi sebarang kejadian yang tidak diingini seperti jenayah, maka mereka akan terlepas sekiranya tidak dapat dijejaki.
* Kebanjiran Warga Asing
Kini Negara kita telah dibanjiri dengan pendatang asing tanpa izin dari pelbagai Negara seperti Vietnam, Myanmar, Indonesia dan India. Kehadiran mereka yang masuk secara tidak sah ini telah meningkatkan statistik jenayah di Negara kita sepertimana yang sering dilaporkan sebelum ini. Saya berharap pihak berkuasa dapat memainkan peranan yang lebih efektif. Profesionalisme pihak berkuasa juga seharusnya dipulihkan dengan bersikap adil dan saksama dalam menjalankan tugasan. Untuk itu, adalah lebih baik sekiranya lebih ramai anggota keselamatan diserapkan kebahagian pencegahan jenayah daripada hanya menjadi anggota pentadbiran. Kita memerlukan lebih ramai anggota polis yang mengawal keselamatan rakyat awam.
EKONOMI DAN WANITA
Para perwakilan dan pemerhati sekalian,
* Belanjawan 2009
Kini suhu ekonomi di seluruh dunia adalah pada tahap yang tidak memberangsangkan. Sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini, keadaan ini pasti akan turut memberi kesan kepada ekonomi Malaysia. Perubahan pucuk pimpinan negara baru-baru ini yang turut melibatkan pemegang jawatan tertinggi portfolio kewangan setakat ini tidak mendatangkan sebarang unjuran positif kepada perkembangan ekonomi semasa negara. Keangkuhan pihak kerajaan menolak cadangan Pakatan Rakyat di Parlimen agar memperbincangkan pembentangan semula bajet atau revised budget adalah seperti yang dijangkakan walaupun umum mengetahui bahawa belanjawan yang dibentangkan sebelum ini adalah tidak relevan lagi dengan keadaan ekonomi semasa di seluruh dunia. Pada saat pihak Pakatan Rakyat berusaha untuk berkongsi kepakaran, maklumat dan cadangan sebagai strategi menangkis kesan buruk krisis ekonomi global yang dijangka akan berlaku, pihak kerajaan pusat terus mendabik dada dan cuba meyakinkan rakyat bahawa negara ini mampu menghadapinya. Ternyata langkah tersebut adalah tidak bijak.
Tiada gunanya pihak kerajaan pusat terus berselindung dan berada dalam situasi penafian atau state of denial kerana ianya kini mula dirasai. Penurunan mendadak pasaran komoditi mendatangkan kesan yang dapat dijangka kepada ekonomi Malaysia. Wanita KeADILan dengan rasa yang sangat prihatin menyeru sekali lagi agar pihak kerajaan mempertimbangkan beberapa cadangan alternatif kepada belanjawan negara. Peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan mestilah memberi lebih perhatian kepada sektor pendidikan rakyat, pengangkutan awam, kesihatan dan perumahan rakyat. Projek-projek mega yang bernilai lebih daripada RM1 ribu juta perlu disemak semula untuk menilai kesannya kepada kelangsungan sosio ekonomi, kemampuan kewangan kerajaan dan impak kepada pembangunan negara serta kewujudan peluang pekerjaan.
Para hadirin sekalian,
* Rasuah dan Ketelusan
Ternyata pembongkaran yang kita laungkan selama ini berkenaan ketelusan pihak kerajaan dalam sistem penganugerahan tender selama ini tidak dipedulikan sama sekali dan pihak kerajaan seolah-olah membutakan mata dan tidak takut untuk mengulangi kontroversi penganugerahan tender tersebut. Kajian menunjukkan sekiranya tiada penganugerahan tender dibuat melalui bidaan, kerajaan ini mampu berjimat sehingga RM5 ribu juta. Kontroversi terbaru yang melibatkan kelulusan pembelian EUROCOPTER bernilai RM1.5 ribu juta dan kontrak High Speed Broadband bernilai RM11.3 ribu juta terus merisaukan kerana wang yang diambil dari keringat rakyat itu sepatutnya dikembalikan dengan mementingkan kesejahteraan rakyat menjelang krisis ekonomi global ini.
Kita juga mencadangkan agar strategi untuk menumpukan keutamaan kepada jaringan keselamatan sosial, memantau kestabilan harga barangan pengguna dan meningkatkan tahap keupayaan negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa diberi keutamaan. Pada waktu ini kita terus tewas dalam persaingan dengan negara Asia lain seperti Singapura, Taiwan dan Korea. Dalam tempoh 15 hingga 29 Ogos tahun ini sahaja sebanyak RM3.8 ribu juta pelaburan telah dibawa keluar oleh pelabur asing dari negara kita. Wanita KeADILan amat prihatin dan mengharapkan tindakan segera di ambil oleh pihak kerajaan pusat. Ini kerana jika keadaan ini terus berlaku, ianya akan melibatkan kehilangan pekerjaan kepada banyak tenaga kerja terutama sekali golongan wanita dalam industri perkilangan komersil.Begitu juga ura-ura hampir 50 ribu pekerja sektor awam yang bertaraf sementara atau kontrak yang akan mungkin kehilangan pekerjaan mereka.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
* Harga Barang
Hari ini harga minyak di dunia mengalami penurunan drastik. Akibat daripada itu kerajaan telah menurunkan harga minyak sepertimana yang mereka patut lakukan dahulu lagi. Kita percaya tindakan ini diambil kerana desakan konsisten yang kita lakukan melalui demonstrasi dan siri-siri ceramah penerangan di seluruh negara. Kita berterima kasih atas penurunan harga minyak tersebut. Walau bagaimanapun, pernurunan ini tidak berjaya menurunkan kesan ekonomi yang lain sepertimana yang dialami ketika kenaikan harga minyak dahulu. Mungkin penurunan harga minyak berjaya menjimatkan sedikit perbelanjaan petrol dan diesel pengguna kenderaan dan peniaga, tetapi bagi surirumah, ianya tidak langsung memberi kesan kerana harga barangan di pasar untuk kegunaan harian masih tidak turun.
Kegagalan kerajaan mengawal dan memastikan harga barang pengguna turut turun sejajar dengan penurunan harga minyak amat dikesali. Surirumah kini masih lagi terpaksa memikirkan tentang perbelanjaan dapur mereka yang tidak berubah. Kebanggaan pihak kerajaan memujuk pengusaha restoran mamak menurukna harga roti canai dan teh tarik sebanyak 10sen membuktikan bahawa mereka seolah mempermainkan kehendak rakyat. Hakikatnya kini, kerajaan telah
gagal mengusahakan penurunan harga barangan pengguna yang menjadi kegunaan seharian semua.
PEMBERDAYAAN KOMUNITI
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Pemberdayaan komuniti adalah merupakan salah satu elemen terpenting dalam menentukan jatuh atau bangunnya sesebuah institusi masyarakat itu. Sesebuah komuniti akan dapat diperkasakan apabila ianya diberi keyakinan, kemahiran dan kuasa untuk mempengaruhi keputusan Pihak Berkuasa Tempatan dalam sebarang keputusan yang melibatkan komuniti tersebut. Pihak Berkuasa Tempatan pula perlu menyahut tindakan tersebut dengan community engagement dimana proses reach out atau turun kepada penduduk perlu dijalankan untuk mencipta peluang-peluang diatas. Kebanyakan kita selalu terlepas pandang akan isu pemerkasaan komuniti ini dan lebih menumpukan kepada pembangunan fizikal secara umum sahaja. Hakikatnya, pembangunan komuniti tempatan adalah sama pentingnya kerana mereka yang merupakan pemegang kunci utama kepada pintu kejayaan mahupun kegagalan perlaksanaan sesuatu dasar ataupun program yang dirancangkan.
Kajian yang dijalankan di Negara-negara Eropah menunjukkan bahawa hasil daripada perlaksanaan program pemberdayaan komuniti atau community empowerement ini telah menunjukkan peningkatan positif dari aspek kebersihan kawasan perumahan, sistem pengendalian sisa pepejal yang teratur, mengurangkan kadar jenayah kecil dan sebagainya yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.
* Pelan Tindakan Pemerkasaan Komuniti
Wanita Keadilan telahpun mula merangka Pelan Tindakan Pemerkasaan Komuniti. Ianya dirangka untuk dilaksanakan setelah meneliti aspek-aspek penting yang dikenalpasti melalui pengalaman dan juga kajian umum. Antara objektif yang ingin dicapai melalui perlaksanaan pelan ini kelak ialah untuk melibatkan penyertaan komuniti dalam jumlah yang besar dalam program ini. Penglibatan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut penting agar segala tindakan dan keputusan yang diambil adalah secara kolektif. Ini juga sekaligus mendidik penduduk akan erti demokrasi. Seterusnya pelan ini mempromosikan anjakan minda dan sikap penduduk setempat. Mereka akan didedahkan dengan rasa tanggungjawab yang menebal dan sikap kepedulian terhadap kehidupun di persekitaran komuniti mereka. Dengan cara ini, penduduk setempat akan lebih menghargai keseluruhan kawasan kediaman mereka dan bukan hanya mengambil kira kawasan rumah mereka sahaja. Mereka juga akan dididik akan hak-hak mereka sebagai pembayar cukai dan saluran-saluran aduan yang betul, terus ke peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.
Akhir sekali, pelan ini bertujuan untuk memperbaiki prestasi perkhidmatan awam di peringkat kerajaan tempatan (PBT) dan meningkatkan taraf kehidupan. Mereka perlu didedahkan dengan rasa ikatan tanggungjawab bersama penduduk lain .
Ikatan ini dapat dibina dengan menubuhkan persatuan penduduk di setiap kawasan perumahan dan juga persatuan -
persatuan lain seperti persatuan belia dan wanita. Antara tanggungjawab yang boleh diberikan kepada persatuan persatuan ini sebagai permulaan ialah dengan mempertanggungjawabkan dewan-dewan orang ramai untuk dijaga dan diselenggara. Ia sekaligus membuktikan ketelusan dan menghindarkan salahguna premis milik orang ramai kepada parti parti politik sebagaimana amalan sebelum ini.
Saya amat yakin sekiranya pemerkasaan komuniti ini dapat dijalankan dengan baik, masyarakat akan mempunyai lebih keyakinan dengan setiap perkara yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Dengan melibatkan komuniti secara terus juga ianya dapat mengelakkan salah faham serta mengukuhkan ikatan antara rakyat dengan kerajaan negeri. Saya seru wanita keADILan agar melibatkan diri dalam komuniti setempat dan menjadi agen agen pemberdayaan masyarakat diantara parti dan komuniti.
PEMBERDAYAANÂ WANITA
Para hadirin yang dihormati,
* Majlis Permuafakatan Wanita Pakatan Rakyat
Isu-isu yang melibatkan wanita juga dilihat semakin hari semakin membimbangkan. Penganiayaan, ketidak adilan dan diskriminasi terhadap golongan wanita terus berlaku disebalik pelbagai kempen kesedaran dan penerangan yang dilakukan. Wanita di Malaysia masih lagi tidak mendapat kedudukan yang sewajarnya dalam Negara ini disemua sudut.
Untuk itu saya menyeru pimpinan Pakatan Rakyat di kelima-lima buah negeri yang diperintah di Semenanjung Malaysia agar memulakan langkah yang bijak dan menjadi contoh kepada kesemua rakyat terutama golongan wanita.
Saya percaya jika tindakan proaktif untuk meletakkan wanita pada tempatnya dapat dilakukan dengan baik, maka golongan wanita yang merupakan pengundi lebih ramai daripada lelaki di Negara ini tidak akan ragu-ragu untuk terus menyokong Pakatan Rakyat pada masa hadapan. Berilah peluang kepada kami, golongan wanita untuk menabur budi dan membuktikan kemampuan dan profesionalisme kami di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri dan badan-badan bersekutu yang lainnya. Wanita KeADILan berjanji akan terus menjadi badan pendesak yang aktif supaya lebih banyak isu berkaitan gender ini dapat ditangani.
Wanita KeADILan juga akan terus berganding bahu dalam mendepani isu pemberdayaan wanita. Adalah menjadi hasrat berterusan kami untuk melihat para wanita di Malaysia khususnya diberdaya dalam pelbagai sudut hingga akhirnya menjadi asset yang sangat berharga dan menjadi salah satu komponen yang bergerak secara efektif dan konstruktif dalam menyumbang kepada pembangunan Negara.
Buat masa ini, kami sedang giat mengusahakan agar kesemua isu yang berkaitan wanita dapat diselaraskan di peringkat kerajaan negeri Pakatan Rakyat.Bagi merealisasikan tujuan ini dan untuk membuktikan kesungguhan kita dalam menangani isu wanita serta memberdayakan mereka, Wanita KeADILan mencadangkan agar diwujudkan Majlis Permuafakatan Wanita Peringkat Negeri Pakatan Rakyat. Ianya perlu dianggotai secara terus oleh EXCO-EXCO dan juga kakitangan kerajaan negeri yang terlibat dalam soal pembangunan dan kebajikan wanita. Sekiranya ini dapat dilakukan, maka segala isu yang membabitkan wanita dapat dibincang, dicadangkan dan kemudiannya dilaksanakan secara seragam di peringkat kelima-lima negeri yang diperintah Pakatan Rakyat. Kita mahu negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat menjadi negeri idaman wanita Malaysia dan seterusnya menjadi contoh yang diikuti demi kebaikan semua golongan wanita sama ada yang di Bandar mahupun di desa.
Para hadirin yang dikasihi ,
* Penubuhan / Kerjasama Badan Bukan Kerajaan
Wanita KeADILan harus bijak mengorak langkah langkah kreatif dalam usaha mendekati masyarakat setempat am nya dan wanita khususnya.Pada masa yang sama menafaatkan sumber sumber kerajaan pakatan rakyat dalam memperkasa agenda parti.Pertubuhan pertubuhan ini hendaklah dijadikan jambatan mendekati wanita dengan program program pemberdayaan wanita dalam bidang ekonomi, pendidikan, undang undang, kedudukan sosial dan politik.
Usaha usaha ini harus digiatkan dengan lebih rancak terutamanya di lima negeri pakatan rakyat dalam melaksanakan strategi perkukuhan parti.Program program pendekatan berperingkat perlu diatur agar semua lapisan sasaran dapat di gembeling dalam memperkasakan wanita pada keseluruhannya.
* WIRDA ( Women Institute for Research Developmen & Advancemen )
WIRDA selaku pemangkin pergerakan Wanita KeADILan yang ditubuhkan pasca PRU 11, adalah manifestasi perancangan sayap wanita yang bijak dan matang.Penubuhan asal WIRDA adalah untuk menangani masalah mendapatkan ahli di kalangan wanita yang belum berani menyerta parti politik tetapi cenderung dengan aktiviti aktiviti kebajikan dan pengilmuan.Jika dulu WIRDA di kenali sebagai jambatan kemanusiaan, hari ini WIRDA menjadi jambatan parti KeADILan Rakyat. Enam program pendidikan kemasyarakatan untuk wanita telah dirancang dan di laksana di beberapa kawasan. Seramai 20 tenaga pengajar telahpun dilatih untuk turun mengendalikan program program tersebut bermula dengan Selangor.WIRDA Perak juga telah berjaya mendapatkan pengiktirafan kerajaan negeri untuk jalankan program program yang sama. InsyALLAH begitu juga dengan negeri negeri yang lain.
Memacu Wanita Ke Arah Perubahan
* Wanita Kearah Politik Arus Perdana
Prestasi Wanita KeADILan setakat ini amat lah membanggakan.Mengimbau kembali dari zaman penubuhan sayap yang di pimpin Pn. Nell Onn dan dikuti zaman pemantapan oleh Puan Fuziah Salleh dan sekarang alhamduLILLAH zaman kegemilangan sudah tiba.Wanita KeADILan mendewasa dengan cekap dan encatitkan pencapaian di luar jangkaan.
Syabas saya ucapkan kapada srikandi srikandi perjuangan keadilan. Rakaman jutaan terima kasih kapada kedua dua pemimpin terdahulu di atas jasa, pengorbanan dan kegigihan mereka.Kepada Puan Fuziah Salleh khususnya jambangan tahniah dan kasih dari wanita KeADILan diatas kejayaan beliau memenangi kerusi Parlimen Kuantan pada Pilihanraya 12 yang lalu dan apa yang lebih penting di sini adalah kedudukan beliau dalam badan induk parti
melambangkan kesediaan wanita KeADILan bersaing dalam politik arus perdana.
* Kempen 30 %
Pelan dan usaha berterusan memberdaya wanita dalam mencapai sasaran sekurang kurang nya 30% penglibatan wanita di semua peringkat dalam parti akan terus di perkasa. Tahun lepas kempen 30% dilancarkan dalam pemilihan parti, keputusan dan penglibatan wanita di peringkat tertinggi parti meningkat ke 23% berbanding dengan 11% tahun sebelumnya. Saya percaya peratus penglibatan wanita di peringkat arus perdana parti akan menembusi paras 30% pada tahun 2010 InsyALLAH. Selepas Tsunami Politik dengan melahirkan 8 wakil rakyat wanita KeADILan yang juga akan menjadi pencetus tarikan di kalangan wanita berkaliber dan sumber ilham di kalangan pimpinan dan ahli di semua peringkat. Sekaligus menyemarakkan pemilihan parti 2010 kelak .Ayuh! mari lah kita bersama sama berusaha menyuntik semangat dan menimba ilmu kearah penyertaan yang lebih ketara.
Membangun Wanita Generasi Ke Dua
Para hadirin sekalian khususnya Srikandi
* Wanita di bawah 40
Kajian terperinci yang dijalankan mengenai keputusan PRU 12 yang lepas telah menunjukkan beberapa keputusan yang amat menarik. Saya ingin berkongsi maklumat bahawa hampir 60 peratus sokongan yang kita perolehi adalah dari kalangan generasi muda. Generasi ini merupakan golongan yang mengundi tidak berdasarkan sebarang sentimen tetapi melalui kajian dan perbandingan yang bijak. Tambahan pula mereka dengan mudah boleh mendapatkan maklumat alternatif melalui media maya yang amat popular dikalangan generasi muda. Adalah amat malang sekiranya kita tidak manafaatkan mereka. Dari itu satu kertas perancangan dan pelan tindakan strategik khusus untuk wanita dibawah umur 40 tahun insyALLAH akan di luncurkan pada Jan 2009.
Oleh itu, saya suka mencadangkan agar pasukan Srikandi yang merupakan sayap kanan Wanita KeADILan dan dianggotai oleh para remaja perempuan diaktifkan semula dengan serius. Kita juga boleh memikirkan penjenamaan semula atau re-branding agar lebih kelihatan menarik untuk disertai. Ini akan mewujudkan persaingan sihat dan juga boleh menjadi pilihan kepada generasi muda untuk dijadikan sebagai platform mengenengahkan potensi mereka sebagai pemimpin golongan muda. Hal ini sangat penting supaya kita tidak kehilangan sokongan golongan muda dan juga memastikan dalam setiap tindakan yang kita lakukan dapat turut mengambilkira kesesuaian dan minat golongan tersebut.
Baru baru ini kita di kejutkan lagi dengan 2 juta pengundi baru yang baru mendaftar dan kebanyakkan dari mereka adalah anak muda yang bakal meneruskan kesinambungan untuk mentadbir negara kita. Di dalam pelan strategik Generasi Dua ini insyALLAH akan di lontarkan idea kontemporari yang mampu menarik perhatian dan minat generasi muda untuk meneruskan serta mewarisi kesinambungan perjuangan wanita dan mengelak negara ini dari terus di tadbir kearah kehancuran.
* Generasi Pelapis 2010
Pelan tindakan yang akan di laksanakan Wanita KeADILan khusus bagi wanita di bawah 40 insyALLAH akan memastikan ianya bersesuaian dengan citarasa golongan ini. Berbagai program intensif yang di sediakan merangkum;
1. Latihan kepimpinan mentor-mentee
2. Membimbing ( Coaching )
3. Memberdaya.( Empowerment )
4. Memimpin ( Leadership )
Dengan perancangan strategik ini menjadi hasrat kami untuk melahirkan pelapis yang mandiri, berprinsip dan tegas untuk terus mara ke hadapan. Pada masa yang sama usaha ini adalah lambang sikap Wanita KeADILan yang terbuka dalam mengalu-alu kan generasi muda. Kami yakin orang muda merupakan lambang Harapan Negara.Dan Wanita KeADILan ingin memulakan budaya politik baru dalam memberi ruang seluas luas nya kapada wanita Generasi kedua ini.
Sekaligus pelan pemberdayaan generasi pelapis ini ialah satu manifestasi tulen yang hendak kami tonjolkan sebagai matlamat jangka masa panjang dalam membentuk kerajaan baru yang dinamik, segar dan berdaya maju.
PENUTUP
Para hadirin sekalian,
Sebelum saya mengakhiri ucapan pada pagi ini, izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kerana sudi meluangkan masa untuk mendengar kepada para hadirin, pemerhati sekalian serta tetamu yang hadir. Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus berusaha bagi memastikan kongres kali ini berjalan lancar. Bagi para perwakilan pada perhimpunan kali ini, saya amat berharap agar ucapan itu tadi dapat dikupas dan diperbahaskan dengan baik sepanjang kita berkongres pada hari ini. Jadikanlah medan kongres ini untuk kita sama-sama berkongsi maklumat, pandangan dan bertukar fikiran. Mantapkan pergerakan Wanita KeADILan melalui saranan yang telah saya ucapkan tadi agar akhirnya nanti Wanita KeADILan benar-benar ampuh, perkasa dan berdaya.
Betulkanlah niat kita iaitu untuk Ikhlas dalam perjuangan. Buktikanlah keupayaan Wanita KeADILan untuk menerajui perubahan. Saya menyeru agar kita sama-sama berusaha dan berganding bahu dalam menuju Harapan Baru. Harapan yang akan menyaksikan kebangkitan wanita dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai Negara makmur, berdaulat dan perkasa. Harapan yang bakal mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai bidang dan harapan yang meruntun perubahan total ke arah Malaysia Baru. Itulah Harapan Baru! Sekian dan selamat berkongres!.
Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh! Terima Kasih.
YB Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita KeADILan
Parti KeADILan Rakyat - http://www.keadilanrakyat.org - 29 November, 2008, 21:39